Saturday, July 10, 2010

Kuih Koleh Kacang

Undangan kenduri dari jiran belakang rumah saya Kak Ani membuatkan saya terus berfikir " apa yang hendak dihadiahkan sebagai buah tangan "... Memandangkan Tuan Haji Captain saya baru pulang dari bertugas dan kuih Koleh Kacang menjadi kesukaannya.. maka saya pun memilih untuk membuat kuih ini.

Resepi kuih ini saya perolehi dari sahabat saya Puan Mona yang sungguh baik dan memang terkenal dengan kehandalannya memasak dan mencuba pelbagai resepi.

Kuih Koleh Kacang ini merupakan salah satu kuih yang popular di Negeri Johor Darul Takzim. Kuih Koleh Kacang yang betul betul sempurna ialah lengkap dengan tahi minyaknya sekali. Di atasnya tidak ditabur kacang tanah tumbuk atau lain lain.

Tadaaaaa... inilah kuih Koleh Kacang yang telah saya buat semalam.


Hirisan sebegini dipanggil potong wajik



Seloyang kuih untuk Kak Ani jiran belakang rumah saya. Bertuah kerana Kak Ani membuat kenduri pada 27 Rejab. Saya hanya menumpang seloyang kuih ini sebagai sumbangan.



Bagi tujuan bergambar saya membuat hirisan potong wajik supaya nampak cantik. Tapi untuk senang potonglah bentuk empat segi sama atau potong lah bentuk apa pun yang difikirkan sesuai.



Resepi Kuih Koleh Kacang

A. 400 gram gula merah
100 gram gula putih
300 ml air

B. 300 gram tepung kacang hijau ( Baba's Roasted Peel atau Lingam's Roasted Peel )
1 sudu teh garam

C. 400 ml santan pekat
1300 ml air

D. 400 ml santan pekat

Cara cara membuatnya

1. Masak semua bahan bahan A sehingga mendidih & semua gula larut dalam air. Tapiskan.
2. Satukan bahan bahan B & C. Kacau rata dalam periuk menggunakan "whisk" supaya tepung kacang hijau tadi mudah larut dan tidak bergentel gentel.
3 Kemudia masukkan bahan A kedalam periuk dengan B & C tadi. Kacau di atas api yang sederhana besar sehingga pekat selama 1/2 jam. Tutup sebentar dengan penutup periuk selama 15 minit. ( jangan lupa untuk mengacau setiap 5 minit ).
4. Bila sudak masak, tuangkan ke dalam loyang dan taburkan dengan tahi minyak.
5. Puan puan boleh juga masukkan 2 sudu minyak dari hasil tapisan tahi minyak ke dalam periuk kole kacang tadi. Kuih itu akan menjadi lebih berkilat. Jika tidak masukkan minyak pun kuih ini akan menjadi.

Cara cara membuat tahi minyak

Masukkan 400 ml santan ke dalam periuk dan masaklah sehingga keluar minyak. Jangan lupa untuk mengacau dan terus mengacau sehingga garing keperangan. Peringatan... jangan tunggu sehingga warna perang untuk menutup api kerana silap silap tahi minyak itu akan hangus. Tutip api bila warna tahi minyak itu hampir hampir perang. Tapis untuk mengasingkan tahi minyak dengan minyaknya.


Tips: Jangka waktu memasak tahi minyak lebih kurang sama dengan masaknya kuih kole kacang ini. Puan puan boleh masak kedua duanya serentak. Hati hati dengan percikkan minyak sewaktu mengacau tahi minyak.

Satu lagi.... ikutlah resepi ini dengan tepat untuk menhasilkan kuih kole kacang seperti di atas. Kerana saya pun tak berapa pandai memasak. Cuma pandai ikut resepi sahaja.

Selamat mencuba dan selamat menjamu selera.



2 comments:

  1. Tq share resepi.nk cuba lah...mana tau berhasil.xpernah menjadi lg buat ni.....

    Ada masa free lawatla blog saya
    www.sihatnatural.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Salam. Saya Amir dari iluminasi.com. Saya ingin memohon keizinan puan untuk berkongsi info tentang kuih kole kacang dalam artikel ini.

    Resepi tidak akan diambil. Namun, kredit dan link kepada resepi puan telah diberikan.

    Puan boleh melihat artikel tersebut di sini: https://iluminasi.com/bm/resepi-kuih-kole-kacang-kegemaran-ramai.html

    Jika puan mahu saya membuang kandungan yang diambil, boleh hubungi saya dengan kadar segera di amirwrites_271@yahoo.com.

    Maklumbalas dari pihak puan adalah amat dihargai :)

    ReplyDelete